Himpunan Doa-Doa

Doa adalah memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh ketulusan hati dan penuh pengharapan. Pengertian ini dijelaskan oleh Allah dalam beberapa tempat di dalam al-Quran.

Antara firman Allah:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِیۤ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِی سَیَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِینَ
[Surah Ghâfir: 60]

Maksudnya “ Berdoalah kepadaku, nescara akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

(Ghafir: ayat 60)

KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN DOA

1- Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya.

2- Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah.

3- Doa merupakan satu bentuk zikir kepada Allah.

4- Doa merupakan senjata yang ampuh bagi setiap mukmin dalam menghadapi realiti kehidupan.

ADAB-ADAB BERDOA

1- Mengikhlaskan hati kepada Allah.

2- Mengangkat kedua tangan ketika berdoa sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga kelihatan putih dua ketiaknya sebagai tanda kesungguhan kita memohon sesuatu daripada Allah.

3- Memulakan doa dengan tahmid kepada Allah SWT dan diiringi dengan salawat kepada Nabi SAW, diikuti dengan permohonan apa-apa yang dihajatkan. Doa yang paling utama ialah memohon keampunan dan keredhaan Allah sebelum memohon perkara-perkara yang lain. Permohonan juga boleh dimohon dengan apa-apa bahasa sekalipun. Seelok-elok doa ialah ‘Doa Maksurat’ iaitu doa yang diambil dari al-Quran dan as-Sunnah, atau doa yang dibaca oleh sahabat, para tabiin atau imam-imam yang terkenal kesolehannya dan ketaqwaan mereka kepada Allah.

4- Mengadap kiblat, kecuali imam kerana imam makruh mengadap kiblat, akan tetapi disunatkan baginya mengadap makmum atau menjadikan rusuk kanannya mengadap makmum dan rusuk kirinya mengadap kiblat.

5- Memilih waktu-waktu yang mulia seperti berdoa di Hari Arafah, hari-hari di bulan Ramadhan, pada hari jumaat, waktu sahur atau tengah malam, ketika hujan turun, di antara azan dan iqamah, dalam solat fardhu, ketika sujud, selepas solat, ketika imam duduk antara dua khutbah Jumaat, sebelum magrib hari Jumaat, ketika sedang berpuasa dan lain-lain lagi.

6- Berada dalam keadaan suci zahir (tubuh badan) dan batin (hati) dari perkara-perkara kotor dan maksiat.

7- Merendah diri dan khusyu’ dan dengan penuh pengharapan agar doa tersebut diterima oleh Allah dan perasaan takut tidak diperkenankannya.

8- Berdoa dengan penuh kesungguhan dengan penuh keyakinan bahawa doa tersebut akan diperkenankan Allah.

9- Membaca doa dengan penuh ketenangan dan tidak tergopoh -gapah.

10- Merendahkan suara.

11- Pengakuan terhadap segala dosa yang telah dilakukan dan memohon keampunan dariNya.

12- Pengakuan terhadap segala nikmat dan dan bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan tersebut.

13- Berdoa dengan mengulang-ulangkannya sebanyak 3 kali bagi setiap permintaan dan tidak terburu-buru supaya ia diperkenankannya.

14- Tidak menyusahkan diri dengan doa-doa yang berunsur sastera (bahasa yang susah).

15- Memulangkan hak dan meminta maaf daripada orang yang dizalimi serta bertaubat dengan perbuatan tersebut.

16- Berwudhu’ sekiranya tidak menjadi keberatan dan tidak menyusahkan.

DIANTARA SYARAT-SYARAT DO’A DIMAKBULKAN

1- Berdoa dengan penuh keikhlasan dengan terus mengharapkan agar doa tersebut dimakbulkan oleh Allah.

2- Berdoa dengan penuh kesungguhan dan tidak jemu mengulang-ulanginya.

3- Berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang dibenci oleh Allah.

4- Memastikan makanan,minuman dan pakaian yang dipakai dan rezeki yang diperolehi hasil dari usaha yang halal.

5- Memohon kemaafan dari manusia yang pernah kita zalimi atau aniyai, kerana doa seseorang tidak akan dimakbulkan sekiranya mereka menzalimi dan menganiyai orang lain dan tidak mendapat kemaafan dari mereka.

6- Mematuhi adab-adab sebagai seorang hamba yang berdo’a di hadapan Khaliqnya yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

Disini kami kongsikan himpunan doa-doa Mustajab untuk di amalkan bersama. Semoga hidup kita ini sentiasa dirahmati Allah S.W.T.


Bahagian 1 (Doa-Doa dari Al-Quran)

BAHAGIAN 2 (Doa-Doa dari Hadis)


SUMBANGAN BAGI PENERUSAN PROGRAM-PROGRAM PENGAJIAN AL-QURAN

Klik Sini–> Infaq

Design a site like this with WordPress.com
Get started