
Al-Quran perlu dipelajari dengan cara berguru ataupun bertalqqi. Ini berdasarkan peristiwa di mana Nabi SAW diajar oleh Jibril AS secara bertalaqqi. Di samping itu, Nabi SAW akan belajar al-Quran dengan Jibril AS setiap tahun sekali melainkan pada tahun kewafatan Baginda SAW iaitu sebanyak dua kali sebagaimana di dalam hadith yang sahih:
- Daripada Fatimah RA berkata, bahawa Nabi SAW telah berbisik kepadaku:
أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي بِالقُرْآنِ كُلَّ سَنَةٍ، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي
Maksudnya: “Jibril membacakan al-Quran kepadaku setiap tahun sekali dan sesungguhnya Jibril membacakan al-Quran kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya melainkan isyarat bahawa ajalku telah datang”. [Riwayat al-Bukhari (3353)]
Daripada hadith ini, jelaslah bahawa al-Quran perlu dipelajari melalui cara bertalaqqi atau berguru. Ini juga merupakan sunnah para salaf yang diamalkan oleh para sahabat apabila mereka mengambil atau mempelajari terus daripada Nabi SAW. Setelah itu, Nabi SAW mengutuskan para sahabat ke beberapa buah tempat untuk mengajarkan al-Quran kepada orang lain. Ini juga yang diamalkan oleh generasi selepas daripada sahabat seperti tabi’in, tabi’ tabi’in dan selepas daripada mereka.